PEDOMAN

Sabda Rasulullah S.A.W : "Tunggu saat kehancurannya, apabila amanah itu disia-siakan". Para sahabat serentak bertanya, "Ya Rasulullah, apa yang dimaksudkan menyia-nyiakan amanah itu?" Nabi S.A.W menjawab, "Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya". - Hadith Riwayat Bukhari.

Friday 14 December 2012

DEDAH!!! Pluralisma Agama Bakal Menjahanamkan Malaysia

Logo pluralisma agama

Pluralisma agama merupakan satu gerakan terancang yang berusaha menyamaratakan akidah dan iktikad Islam dengan semua agama ke dalam satu kesatuan kononnya bermatlamat menuju kebahagiaan dunia dan akhirat. Fahaman pluralisma agama menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan kebaikan di dunia akan diberi ganjaran syurga tanpa mengira samada seseorang itu menyembah Tuhan yang satu atau pelbagai Tuhan yang lain.

Pluralisma agama juga dianggap satu kaedah universal untuk meredakan konflik agama yang mana selalunya agama Islam sebagai agama majoriti harus menerima dan mengalah dalam banyak perkara sebagai tanda toleransi. Sedangkan di negara-negara di mana umat Islam terpinggir, pluralisma agama digunakan untuk memaksa umat Islam untuk beralah kepada agama lain yang dominan. Antaranya menerima gaya hidup pergaulan bebas, cara berfesyen, berseksual dan sebagainya yang mengikis akidah serta cara hidup Islam.
Gerakan pluralisma agama memang bertentangan dengan Islam kerana ia menjerumuskan seseorang Islam ke kancah kemurtadan. Fahaman ini secara terselindung akan mengajak umat Islam supaya menerima budaya, adat dan cara hidup kaum musyrik antaranya seperti acara berdoa bersama dalam satu bulatan di mana di tengah-tengahnya dinyalakan lilin sebagai tanda sefahaman. Begitu juga dengan budaya menyalakan lilin sebagai tanda berkabung dan banyak lagi. Perlakuan-perlakuan seperti ini boleh menimbulkan syirik kerana umat Islam telah mempersendakan Islam secara sedar atau tidak sedar.

Usaha merosakkan akidah umat Islam melalui fahaman pluralisma agama ini bermula selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W dengan timbulnya gelombang menolak kepimpinan Khalifah Ar-Rashidin. Gerakan pemesongan akidah ini dikenali sebagai gerakan Ar-Riddah dan telah berjaya dihapuskan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq. 

Namun gerakan ini tetap berterusan sehingga memaksa khalifah-khalifah Islam selepas beliau berjihad menghapuskan golongan sesat akidah seperti Syiah, Muktazilah, Khawarij dan Zindik. Golongan-golongan ini bukan sahaja mencampuradukan agama Islam dengan pelbagai bida'ah dan kepercayaan syirik, tetapi turut menganggap hanya golongan mereka sahaja yang betul, sedangkan pemerintahan khalifah-khalifah sebagai sesat.



Lihatlah bagaimana umat Islam dari Pakatan Pembangkang begitu mudah terpengaruh dan menjadi mangsa gerakan pluralisma agama yang dibawa oleh rakan baik mereka.

Gerakan pluralisma agama kini semakin berkembang dengan usaha yang terancang dan berterusan dilakukan oleh musuh-musuh Islam melalui penjajahan minda bagi membingungkan pemikiran ummah agar selalu berfikiran tidak rasional. Ini termasuklah sentiasa menyibukkan ummah dengan hal-hal yang remeh-temeh kononnya berjuang atas nama keadilan, ketelusan dan hak asasi manusia. 

Agen-agen pluralisma agama sentiasa membangkitkan pelbagai sentimen berkaitan ummah agar sentiasa memusuhi saudara seagama dan sebangsanya. Ummah akan digesa supaya berfikiran liberal agar pegangan akidah mereka longgar dan menjadikan mereka tidak kisah serta tidak ambil peduli kepada nasib agama dan bangsanya.


Profesor Ismail Faruqi, cendekiawan pluralisma yang dibunuh kerana menggalakkan perlakuan homoseksual. Bagaimana beliau dibunuh, baca di sini.

Idea-idea kebebasan mutlak terutamanya kebebasan seksual dipromosikan kerana idea tersebut mempunyai tarikan tersendiri di kalangan golongan muda-mudi yang nafsunya masih membuak-buak. Di dalam hal ini, golongan terpelajar yang terlalu taksub kepada sesuatu idealisma akan dipengaruhi untuk menjadi agen pencetus konflik dengan penguasa atau pemerintah semasa. Apa jua yang dilakukan oleh pemerintah Islam dianggap salah meskipun usaha pemerintah tersebut ingin mempertahankan syiar dan hukum-hukum Islam. Manakala golongan pengacau pula dianggap benar belaka dan diberi pembelaan jika dikenakan hukuman.

Pluralisma agama berkembang pesat di seluruh dunia sejak dari zaman Khalifah Ar-Rashidin. Di mana syiar Islam berkembang dan kuat maka pluralisma agama akan menyusup masuk tanpa disedari. Sebagai contoh, ketika di zaman pemerintahan Maharaja Akhbar (tahun 1556 - 1665) dari Dinasti Monghul, India, pluralisma agama mula berkembang. Kewujudan agama yang digelar Din Illahi yang mencampuradukan agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian, Yahudi, Jain dan Animisma dilakukan baginda bagi menyatukan rakyat berbilang agama dan etnik. Tindakan tersebut ternyata telah melemahkan syiar Islam itu sendiri. Serpihan dari fahaman Din Illahi inilah maka lahir pula kepercayaan agama baru seperti Bahai, Sikh dan Qadyiani (Ahmadiyah) seperti yang ada pada hari ini.

 Mirza Ghulam Ahmad, pengasas tarekat Qadyiani Ahmadiyah. Untuk profil lanjut beliau boleh juga baca di sini.

Golongan pluralisma agama amat gerun terhadap idea-idea seperti sistem Khalifah, penglabelan negara Islam, hukum hudud, memartabatkan sistem syariah, sistem ekonomi Islam dan sebagainya kerana ia sebenarnya mengancam kedudukan ekonomi dan strata sosio-politik musuh-musuh Islam di sesebuah negara Islam.

Kedengkian dan sifat bermuka-muka (talam dua muka) mereka boleh dibaca dan dinilai. Mereka akan terus memperalatkan tokoh-tokoh Islam yang kecewa dan terpinggir tetapi terlalu ghairah kepada pujian dan kedudukan untuk menjadi agen pemesong akidah dan pemecah-belah kepada kesatuan ummah. Pendokong gerakan pluralisma agama ini terus mendapat sokongan dan bantuan kewangan, latihan serta logistik dari musuh-musuh Islam yang selalunya berselindung di sebalik pelbagai pertubuhan yang menyuburkan gerakan demokrasi, misi bantuan kemanusiaan, institut pemikir dan sebagainya.

Di Malaysia, golongan pluralis sentiasa bersekutu dengan musuh-musuh Islam untuk memperlecehkan akidah, bahasa, budaya dan pemerintahan umat Islam. Mereka akan memberikan pelbagai persepsi negatif terhadap sebarang usaha mempertahan dan menyebarkan syiar Islam. Tanpa berselindung mereka berusaha menghilangkan identiti, nilai, jati diri, sejarah dan asas kenegaraan yang menjadi teras kekuatan ummah. Perpecahan ummah menjadikan golongan ini besar kepala dan bebas mempersendakan kedaulatan Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu. Matlamat akhir mereka adalah untuk memerintah negara ini mengikut acuan mereka dan menghapuskan apa jua yang menjadi asas kekuatan ummah Islam Malaysia selama ini.

Oleh yang demikian, gerakan pluralisma agama ini wajib ditentang habis-habisan oleh kita semua agar syiar Islam dan akidah ummah di bumi Malaysia ini terus terbela dan kukuh kuat sehingga hari khiamat. InsyaAllah.

4 comments:

Sebarang komen yang dipaparkan di blog ini adalah menjadi tanggungjawab anda (pengomen) sendiri dan pihak SK tidak bertanggungjawab ke atas setiap satunya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...